Wednesday 11 September 2013

Kisah Duka Terjebak Ke Dalam Skim Pelaburan Emas



Pagi yang indah

Sekitar suku keempat tahun 2008, ayah saya dengan jawatan baru di syarikat bumiputera terkemuka selepas pengarah syarikat itu sendiri membuat headhunting dan beliau dipilih untuk bersama-sama dengan syarikat bumiputera terkemuka itu. Kebetulan ayah baru menerima VSS dan jawatan baru yang ditawarkan pula lebih rilex. Suatu keadaan yang memang cukup selesa. Baik dari segi kewangan mahupun tanggungjawab kerja. Kerja baru ni pula, bagi sesetengah orang, lebih syok sebab banyak terlibat dengan high profile people

Bila ayah VSS, banyak juga pampasan wang ringgit yang diterima. Bila banyak duit, kawan-kawan pun tak semena-mena jadi ramai. Kalau dah ramai makin bertambah ramai. Nak dijadikan cerita….

Kawan lama ayah ketika sama-sama di syarikat multinational dulu datang menyapa membawa khabar gembira yang memang peluang bikin orang teruja. Apa bendanya? Katanya ada peluang untuk terlibat dalam urusan jual beli jongkong emas bagi pasaran antarabangsa. Wah, bunyinya pun dah sangat gah! Pulak tu, dia kata bukan semua orang dapat peluang ni.

Business modelnya mudah. Letakkan capital untuk dibuat beli jongkong di London ataupun New York dan dijual di pasaran Asia seperti di Hong Kong, Singapore dan Malaysia. Si kawan lama ni pulak menambah business jongkong emas ni best sebab apa, memang supply tak pernah meet the demand. Demand untuk emas memang sentiasa lebih tinggi berbanding supply yang ada. Tapi bukan semua orang boleh beli jongkong dan jual balik di pasaran antarabangsa. Only those reputable person sahaja. Jadi peluang yang ditawarkan ni atas kapasiti seorang individu yang bergelar kerabat yang memang telah lama terlibat dalam industri ini tambah si kawan lama ni.

So what’s the catch? Senang, kita letakkan modal then kalau tak cukup, modal ni akan di’pool‘kan dengan investor lain biar amaun tu cukup untuk beli satu jongkong emas (satu jongkong emas harganya dalam seratus ribu lebih masa tu). In return, setiap bulan akan dapat 4.4% dari modal asal yang diletakkan asbab keuntungan jual beli emas tu. 4.4% sebulan, setahun dah 52.8%. Jadi dalam masa 2 tahun je dah boleh balik modal! Duit memang ayah ada, ada banyak pulak tu. Then kalau melabur ni dalam masa 2 tahun dah boleh balik modal, jadi agak-agaknya apa tindakan ayah?
 
Bila ayah tertarik ayah memulakan pelaburan. Buat permulaan ayah letak RM100,000 dahulu. Kalau seratus ribu pun, sebulan boleh dapat pulangan sebanyak RM4,400. Jumlah yang boleh tahan. Dah macam gaji manager sebulan dah tu. Itupun kalau manager macam-macam benda nak kena handle, nak kena fikir tu, fikir ni. Yang ni tak payah pening-pening sebab semua diuruskan oleh kerabat yang dimaklumkan oleh kawan lama ayah itu. Dalam pada tu, ayah melantik saya menjadi proxy untuknya. Dalam erti kata lain, akaun bank saya yang digunakan untuk dikreditkan pendapatan bulanan yang bakal diperolehi kelak. Perjanjian anak-beranak mudah sahaja, yang penting amanah dan memang saya pegang amanah itu sebaik-baiknya.

Genap sebulan, pada hari jumaat terakhir bulan itu, kawan lama ayah menelefon untuk memberitahu pulangan sebanyak 4.4% bagi bulan itu telah dimasukkan ke dalam akaun Maybank saya. Saya pun log in ke dalam Maybank2u dan saya dapati memang tertera jumlah sebanyak RM4,400 telah dimasukkan ke dalam akaun saya. Ouh ye, kawan lama ayah tu ada cakap, memang pulangan akan diberikan pada setiap jumaat terakhir pada setiap bulan kerana market akan ditutup pada hari jumaat.

Bulan berikutnya benda yang sama berlaku. Jumaat terakhir pada bulan tu, sebanyak RM4,400 ada dimasukkan ke dalam akaun saya. Ayah semakin gembira dan berkongsi kegembiraan ini dengan ahli keluarga yang lain. Bila ahli keluarga yang lain dengar, terutama mak dan adik-adik (saya anak sulung dari 6 beradik), mereka juga ingin turut serta. Walaupun yang lain-lain ni tak dapat VSS macam ayah dapat, tapi adalah sedikit simpanan. Maka setiap seorang, 3 orang kesemuanya (emak dan 2 orang adik-adik perempuan saya) memberikan wang pelaburan sebanyak RM10,000 seorang. Maka pertambahan capital sebanyak RM30,000 diberikan kepada kawan lama ayah tu dan mereka sebulat suara bersetuju untuk saya kekal sebagai proxy tunggal yang akan memegang amanah mereka. Ouh ye, saya tidak masuk lagi kerana pada waktu tu saya sedang belajar dan banyak nak gunakan wang. Saya melanjutkan pelajaran tanpa sebarang bantuan pinjaman.

RM100,000 + RM30,000 + RM110,000 = RM240,000 pertambahan capital ke dalam pelaburan (katanya) jongkong emas bagi pasaran antarabangsa ini. Eh, eh, tadi kata tambah RM30,000 je. Mana datang RM110,000 tu??
 
Dengan pertambahan capital sebanyak RM140,000, kini jumlah keseluruhan pelaburan menjadi RM240,000. Ya, betul apa yang kamu baca. Jumlah tu boleh dapat BMW 320i atau bagi yang meminati Mercedes boleh beli Mercedes C 180 BE versi baru secara tunai atau kalau nak beli Scirocco 210PS pun boleh, cuma tambah lagi sikit je. Saya tau, kamu mesti tertanya-tanya dari mana datangnya RM110,000 tu lagi kan? Saya ke? “Hehe..How I really wish~” Sebenarnya ayah dah teruja sebab dia dah nampak memang dapat pulangan yang dijanjikan. Naluri setiap orang, pada mula-mula nak melabur memang ada rasa risau dan takut-takut, lebih-lebih lagi jika jumlah pelaburan yang ingin dibuat tu dalam amaun yang besar. Macam manapun, keyakinan tu dapat dipupuk bila nampak hasilnya. Dalam kes ni, ayah dah mula yakin.

Beberapa bulan selepas tu, adik lelaki saya, Haizam pula turut serta dengan capital sebanyak RM10,000 dan pada sekitar suku keempat tahun 2009 saya pula baru ada rezeki sejumlah RM10,000 dan RM10,000 (buat loan) pada bulan berikutnya untuk turut sama memulakan pelaburan. Orang dah lama start saya pula baru nak mula. Mana taknya, ayah kalau ikut dah setahun dah dan mak pulak masa tu pun dah tambah lagi RM20,000 untuk portfolio dia sendiri. Takpe, takpe, better late than never :P

Sedar tak sedar, jumlah pelaburan kami sekeluarga hampir mencecah RM300,000. To be exact RM290,000. Pulangan sebulan berapa? Kali saje la dengan 4.4%. Wow?! Ye memang wow. Alhamdulillah setakat ni memang tiada masalah lagi dari segi pulangan bulanan tu. Cuma….

Cuma tula, baru je beberapa bulan join, saya nak pakai duit. Nak dibuat modal meniaga benda lain. Saya masih ingat kawan lama ayah dulu masa jumpa tahun lepas kat kopitiam di Setiawangsa, di kala dia asyik menerangkan pelaburan jongkong emas ni, siap tunjuk dokumen-dokumen syarikat, transaksi bernilai jutaan ringgit dan termasuklah projection calculation untuk pelaburan yang dibuat, dia ada cakap anytime investor boleh withdraw capital andai nak guna duit. Cuma kena bagi masa seminggu dua untuk urusan tu kerana ni melibatkan pasaran antarabangsa.

Jadi saya hubungi kawan lama ayah tu dan maklumkan hasrat saya untuk membuat pengeluaran sebanyak RM10,000 daripada keseluruhan pelaburan saya dan dia bersetuju. Dia minta saya tunggu dalam masa seminggu dua sebelum duit tu dimasukkan ke akaun saya. Saya pun tunggulah duit RM10,000 tu untuk masuk ke akaun saya. Tunggu punya tunggu. Dah seminggu ni. Tak sabar ni. Saya pun log in ke Maybank2u dan…

Jadi bagaimana dengan duit sebanyak RM10,000 yang saya ingin keluarkan dari pelaburan tempoh hari? Dah seminggu lebih dah ni tapi masih belum dapat lagi. Kalau ikutkan dari cerita kawan lama ayah tu, andai nak keluarkan modal beri masa seminggu dua, kemudian akan dimasukkan terus ke akaun bank. Tunggu punya tunggu…

Satu sms saya terima ketika saya dalam perjalanan ke UIA pagi itu. “Hazwan, kindly check your account. 10k has been deposited” Alhamdulillah, akhirnya belum pun genap dua minggu duit modal yang saya minta telah saya perolehi. “Mudah la investment ni. Letak capital, setiap bulan dapat 4.4%. Kalau nak guna duit just bagitau je. Ok…”, bisik hati kecilku. Jadi mulai bulan ni, saya sedar yang perolehan saya akan kurang sebanyak RM440 sebab saya dah withdraw capital sebanyak RM10,000. Maka pada jumaat terakhir bulan tu saya log in ke dalam Maybank2u untuk melihat transaksi pembayaran pulangan bulanan. Alangkah terkejutnya saya bila saya dapati …

Saya dapati tiada transaksi kemasukan pulangan pelaburan seperti selalu. Saya maklumkan kepada ayah saya dan ternyata ayah pun memang terkejut. Terkejut bukan kepalang. Lalu ayah call kawan lamanya itu untuk minta penjelasan. Kemudian ayah dimaklumkan oleh kawan lamanya itu bahawa harga emas sedang melambung tinggi. Akibatnya duit yang kami sekeluarga pool tidak cukup untuk dibuat beli jongkong di pasaran antarabangsa. Soalnya kenapa baru sekarang nak bagitahu? Kenapa lepas dah hari jumaat, bila sepatutnya dapat duit bulan-bulan yang dijanjikan tapi tak dapat baru kawan lama ayah tu nak bagitahu?
Dalam pada tu, si kawan lama ayah ni cuba menenangkan ayah. “Jangan risau YB, we invest in other business“, pujuk kawan lama ayah ni. “Business apa?”, soal ayah mendapatkan kepastian. Kata kawan ayah, memandangkan harga emas dah melambung tinggi dan modal pun tidak mencukupi lebih baik beralih ke business retail. Ada business runcit yang diusahakan oleh bumiputera yang baru nak bangun. “Baik kita tolong majukan perniagaan sesama Melayu”, katanya. “What about the return? Still 4.4% lagi ke?”, soal ayah kembali.

 

Petang yang kelam, petanda ribut bakal melanda


Awan ribut inipun menyerupai ikan jerung
Ternyata pada bulan itu memang tiada sesen pulangan daripada pelaburan yang kami sekeluarga buat. Bulan berikutnya ada sejumlah amaun yang masuk ke akaun Maybank saya hasil pulangan pelaburan kami. Tapi jumlahnya ciput sekitar RM3,000 lebih je. Ciput?? Jangan tengok RM3,000 lebih dari sudut RM3,000 lebih tapi cuba tengok… Bukan kata kami tamak tapi jika kamu berada di tempat kami, setiap bulan sudah menikmati perolehan pendapatan hampir RM13,000 sebulan tanpa perlu berbuat apa-apa dan tiba-tiba kamu hanya dapat suku daripadanya sahaja. Memang RM3,000 lebih tadi akan terasa ciput. Sungguhpun begitu, tidak mengapa. Bersyukur juga kerana masih dapat menikmati pulangan hasil dari pelaburan kami sekeluarga itu.

Dengan niat membantu perniagaan bumiputera yang baru bermula, dengan harapan agar perniagaan makin berkembang maju, maka ada lah potensi pulangan pelaburan lagi selapas itu. Menjejaki penghujung Disember 2009, perasaan menunggu datang lagi. Entah kenapa kali ini terasa sangat lama. Lama sangat. Mana taknya, masih tiada sebarang kemasukan wang ke dalam akaun Maybank walaupun sudah hampir masuk ke tahun baru. Sudah la pula pada kebiasaan hujung tahun banyak nak guna duit. Ayah dah nekad kali ni nak withdraw semua capital yang dilaburkan. Yang lain pun ikut jejak langkah ayah.

Ayah call handphone kawan lamanya tu tapi tidak berjawab. Cuba call lagi, call lagi, call lagi dan lagi tapi masih tidak berjawab. Harapan terakhir, hantar pesanan ringkas maklumkan bahawa nak withdraw semua capital yang dilaburkan kami sekeluarga. Tiada reply. Esoknya sedang ayah melayari Facebook, terlihat status kawan lama ayah sebagai ‘ON’ di facebook chat.

“Salam”, ayah menaip diruangan sembang Facebook lalu dihantar kepada kawannya itu.
TUP! status yang tadinya ‘ON’ terus beralih ke ‘OFF’
Sejak dari itu bermulalah derita kami dalam pelaburan emas ni. Call tak diangkat, elok-elok ON kat facebook terus jadi OFF, call lagi terus nombor tiada dalam perkhidmatan. Umpamanya memang melarikan diri terus. Ada nombor handphone Tengku (pemilik syarikat yang dinyatakan) diberikan di awal pengenalan mengenai pelaburan emas ini tapi bila dihubungi sampai ke sudah memang tidak dijawab.

Harapan demi harapan. Semakin hari semakin pudar tapi emak masih tetap mengharap kerana itulah duit simpanannya di Tabung Haji hasil pemberian ayah bulan-bulan, lagipun emak cuma suri rumah mana ada pendapatan lain. Duit itu jugalah yang nak dibuat pergi haji. Mungkin kerana itulah emak masih tidak berhenti berharap.

Berapa jumlah yang telah dilaburkan?
Ayah: RM100,000 + RM110,000 (pelaburan kedua)
Emak: RM10,000 + RM20,000 (pelaburan kedua)
Atikah: RM10,000
Afifah: RM10,000
Haizam: RM10,000
Saya sendiri: RM10,000 + RM10,000 (tapi RM10,000 dikeluarkan untuk modal berniaga)

Jadi berapa jumlah modal yang kami sekeluarga RUGI?
Ya, RM280,000 

Apa yang boleh saya simpulkan ialah kenapa kami rugi dek pelaburan emas ini sedangkan pelaburan emas ini andai ia betul boleh menguntungkan, sangat menguntungkan, adalah kerana pada waktu itu ilmu kami tentang emas sangat cetek! Alhamdulillah saya sedar akan kekurangan itu. Jadi saya mengambil inisiatif untuk membuat kajian tentang emas, membuat rujukan dari bahan-bahan bacaan seperti buku, artikel dan sebagainya. Jadi dari situ saya tahu yang dahulu kami memang tersilap langkah dan keduanya bila ada ilmu datanglah keyakinan. Memang orang akan yakin (terhadap sesuatu pelaburan) bila mereka dapat pulangan atau hasil pelaburan itu tetapi bagi saya keyakinan yang sebenar datang dari ilmu yang cukup. Boleh ambil kata-kata saya ini.


Ini adalah kisah benar yang dikongsikan oleh rakan saya iaitu Hazwan.Pengalaman hidup yang begitu bernilai dan tidak tertulis di mana-mana buku teks mahupun surat khabar....Diharap ada pelajaran dan iktibar yang diperolehi dari kisah ini...Oleh itu pesanan saya, jika anda ingin melabur dalam apa jua bidang, wajib mencari ilmu, cari mentor, cari buku yang sesuai etc..

Sekian
Wasalam

Sekadar perkongsian. Bukan hendak memburukkan sesiapa. Artikel ini disiarkan setelah mendapat kebenaran pemiliknya

2 comments:

  1. Sedih hilang duit

    ReplyDelete
  2. Pengalaman yang mengajar kita supaya lebih matang dalam membuat keputusan... berhati2 dengan apa jua bentuk skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan segera dan MUDAH

    ReplyDelete